JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak menceroboh rumah warga asing dan melarikan pendingin hawa di dalam kejadian di Taman Nesa, Skudai di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.18 tengah hari, Khamis lalu ketika mangsa berusia 40 tahun dan suaminya tiada di rumah.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Johor Bahru Utara menahan suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun pada 2.30 petang keesokkan harinya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah. Bagaimanapun, hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Suspek direman selama empat sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki merosakkan pagar rumah mangsa bagi melarikan set penghawa dingin di rumah tersebut.
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 20 saat it seorang lelaki yang memakai topi dilihat memasuki premis berkenaan dan melarikan satu unit penghawa dingin sebelum menutup semula pagar rumah berkenaan.-KOSMO! ONLINE