JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas persiaran didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana melakukan perbuatan khianat terhadap kereta seorang wanita warga Taiwan, minggu lalu.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu apabila tertuduh, Mohd. Nazri Elias, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Hidayatul Syuhada turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin sisi dan mencalarkan kereta jenis Peugeot berwarna kelabu sehingga menyebabkan kerugian RM5,000 terhadap mangsa di KM0.3 Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya di sini, pada pukul 9.05 malam, 20 Disember lalu.
Mohd. Nazri yang diwakili peguam Norfarahin Mohd. Yazid dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman yang minima setelah tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM50 sehari manakala isterinya tidak bekerja.
Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.-KOSMO! ONLINE