PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri memaklumkan setakat ini tiada pengesahan mengenai penglibatan warga Malaysia dalam insiden kemalangan pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang giat mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan memantau situasi dengan rapi.
“Setakat laporan ini dibuat, tiada pengesahan mengenai penglibatan warganegara Malaysia dalam insiden tersebut.
“Doa dan ingatan kami bersama keluarga dan orang tersayang mangsa dalam waktu yang sukar ini,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, warga Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republik Korea.
“Atau boleh menghubungi ditalian +82-2-2077 8600 (Talian Umum) +82-10-8974-8699 atau E-mel: [email protected],” ujarnya.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, setakat ini sekurang-kurangnya 28 terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas di lapangan terbang tersebut.
Pesawat Jeju Air yang membawa 175 penumpang dan enam kru, dalam penerbangan pulang dari Thailand dan kemalangan berlaku ketika ia cuba mendarat. – KOSMO! ONLINE