SEOUL – Kegagalan fungsi gear pendaratan berkemungkinan menjadi punca pesawat Jeju Air terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan hari ini, ketika percubaan mendarat kali pertamanya gagal, lapor agensi berita Yonhap.
Penerbangan Jeju Air yang membawa 181 penumpang dari Bangkok, cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada pukul 9.07 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Ia kemudian tergelincir dari landasan dan berlanggar dengan pagar sekali gus dipercayai mengorbankan kesemua penumpang ketika hanya dua mangsa terselamat berjaya ditemui.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, pesawat itu cuba mendarat akibat kerosakan pada gear pendaratan ketika nahas berlaku, selepas percubaan pertamanya gagal.
Ia bagaimanapun gagal mengurangkan kelajuannya sehingga sampai ke penghujung landasan lalu merempuh struktur di pinggir luar lapangan terbang, kata pihak berkuasa.
Nahas itu merosakkan pesawat dengan ketara dan mengakibatkan kebakaran.
Beberapa saksi menyebut sebilangan tanda-tanda yang menunjukkan kegagalan gear pendaratan pesawat seperti tayar yang masih tidak diaktifkan serta perlanggaran dengan burung, yang dianggap punca kerosakan.
Sementara itu, seorang ketua bomba tempatan berkata, perlanggaran dengan burung dan cuaca buruk berkemungkinan menjadi punca nahas tersebut, lapor agensi berita AFP.
“Punca kemalangan itu dianggap sebagai serangan burung yang digabungkan dengan keadaan cuaca buruk. Bagaimanapun, punca sebenar akan diumumkan selepas siasatan bersama dilakukan,” kata Ketua Balai Bomba Muan, Lee Jeong-hyun. – AGENSI