PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa dukacita atas kejadian tragis nahas pesawat di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan.
Anwar dalam hantaran di aplikasi Facebook berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Korea Selatan dan Thailand dalam masa penuh kesedihan ini.
Katanya, Malaysia juga menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada semua yang terkesan.
“Fikiran dan doa saya bersama keluarga dan orang tersayang mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi yang memilukan ini.
“Pada saat ramai di antara kita berkumpul bersama keluarga dan sahabat, mengenang tahun yang berlalu dan menghargai insan tersayang, kehilangan yang memilukan ini mengingatkan kita betapa berharganya dan rapuhnya kehidupan.
“Marilah kita mengambil masa untuk menghargai mereka di sekeliling kita,” katanya hari ini.
Tedahulu, media antarabangsa melaporkan, pesawat membawa 181 orang itu terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di lapangan terbang di daerah Muan, barat daya Korea Selatan, dipercayai menyebabkan semua kecuali dua mangsa terkorban. – KOSMO! ONLINE