MUNDERFING, Austria – Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dilaporkan menunjukkan minat yang mendalam untuk menceburkan diri dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Bagaimanapun, ia bukan bermaksud dia beralih angin untuk menjadi pelumba MotoGP, sebaliknya Hamilton dikatakan sedia menjadi pelabur dengan membeli saham pasukan KTM yang sedang berdepan masalah kewangan ketika ini.
Meskipun menanggung hutang mencecah bilion ringgit, namun pasukan yang berpangkalan di Austria itu masih mahu meneruskan program sukan permotoran dan tidak akan menarik diri daripada MotoGP.
Ketua pasukan KTM, Pit Beirer mengakui, pihaknya ada mengadakan perjumpaan dan berbincang dengan pihak Hamilton memandangkan pelumba Britain itu menunjukkan minat untuk terlibat dalam sukan dua roda berkenaan.
“Apa yang boleh katakan, kami sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Hamilton dan hasilnya cukup positif. Selain itu, perbincangan antara kedua-dua pihak memiliki asas yang kukuh.
“Memang bukan satu rahsia lagi bahawa Hamilton sangat berminat dengan MotoGP. Saya fikir semua orang pun sudah tahu bahawa dia memiliki hasrat untuk memiliki pasukan sendiri dalam perlumbaan ini,” katanya. – AGENSI