MERSING – Misteri sebuah kereta yang dijumpai dalam keadaan dihurung lalat di tepi jalan sebuah ladang di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang di sini tengah hari semalam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing mengesahkan kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan dalam but belakang kereta Proton Waja kira-kira pukul 1.50 tengah hari.
Katanya, mangsa yang berumur 28 tahun dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam but belakang motokar miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher.
“Bertindak atas maklumat risikan yang diperolehi, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian ini pada pukul 4.30 pagi hari ini.
“Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35 tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai dendam kerana mangsa disyaki ada hubungan dengan bekas isteri suspek.-KOSMO! ONLINE