JOHOR BAHRU – Hasrat seorang kontraktor untuk meraih pendapatan sampingan tak kesampaian malah mengalami kerugian RM107,000 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan telefon lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat jualan dalam talian, 11 November lalu.
Katanya, lelaki itu memaklumkan sedang mencari pekerja sambilan untuk perniagaan jualan barang secara talian yang tidak memerlukan modal selain menawarkan keuntungan yang besar.
Tambahnya, mangsa yang tertarik dengan peluang itu bersetuju untuk menerima tawaran suspek dan telah memuat turun aplikasi jual beli atas talian.
“Mangsa yang telah mendaftar akaun di aplikasi itu menerima dua tempahan kerja iaitu pembekalan pelitup muka masing-masing bernilai AS$28,000 (RM125,132) dan bernilai AS$504 (RM2,252) pada 17 Disember lalu.
“Suspek meminta mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum kontrak tempahan tersebut diluluskan dengan dijanjikan keuntungan sebanyak AS$3,054 (RM13,648.33) serta tempahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, mangsa kemudian membuat empat transaksi pemindahan wang secara atas talian ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.-KOSMO! ONLINE