KUALA TERENGGANU – Penduduk yang menetap sekitar Sungai Tebak, Kemaman diminta agar berjaga-jaga dengan kemungkinan banjir ekoran hujan lebat yang meningkatkan paras air sungai itu sehingga lusa.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia melibatkan perkampungan sekitar lima kilometer dari sungai tersebut seperti Kampung Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Dadong, Kampung Tebak dan Kampung Batu 16 Tebak, Kemaman.
“Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan amaran banjir itu pada pukul 1 tengah hari tadi.
“Oleh itu, saya menyarankan penduduk terlibat agar bersiap sedia meletakkan dokumen penting dam harta benda di tempat tinggi yang selamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanafiah berkata, penduduk di kawasan dikenal pasti itu juga perlu berpindah segera apabila diarahkan.
Beliau berkata, paras air laut di perairan Kemaman juga berada pada ketinggian antara 3.2 meter (m) hingga 3.5m pada 1 hingga 6 Januari ini.
“Paras air laut di perairan Kuala Terengganu pula diramal berada pada bacaan 2.5 hingga 2.7m sepanjang tempoh sama. Waktu puncak fenomena air pasang besar itu antara pukul 10.30 malam hingga 1 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE