KOTA TINGGI – “Jangan sampai membunuh kalau tidak puas hati pun, ada cara lain boleh diselesaikan,” luah Norashikin Mohammad, 26, adik kepada mangsa bunuh yang mayatnya ditemui dalam but kereta Proton Waja di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, semalam.
Norashikin berkata, dia sekeluarga tidak dapat menerima pemergian abangnya, Shakirin Mohammad, 28, yang didakwa dibunuh secara kejam oleh individu yang tidak mempunyai hati perut.
Menurutnya, abangnya yang merupakan pemandu lori Scania keluar rumah dengan menaiki Proton Waja itu kira-kira pukul 5 petang, tanpa memberitahu arah dituju..
Bagaimanapun, kata Norashikin dirinya sempat melihat ‘status’ WhatsApp abangnya yang memaklumkan berada di Cameron Highlands.
“Kami memang sedih tidak boleh terima pemergiannya cara begini. Kami mahu keadilan buat arwah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Norashikin yang tinggal di Pasir Gudang di sini berkata, abang sulungnya itu pernah berkahwin, namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak.
Katanya, mereka sekeluarga menerima berita penemuan mayat Shakirin itu petang semalam dan diminta hadir Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi tadi.
“Polis beritahu, abang dipercayai dibunuh di tempat lain, mungkin di Johor Bahru, tetapi kemudian dibawa ke Mersing.
“Kami tahu abang tiada musuh. Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang berkawan,” katanya.-KOSMO! ONLINE