fbpx

‘Tumpang’ kolam pancing selepas dihalau pemilik rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pondok dalam kawasan kolam pancing yang dihuni tiga beranak terbabit.

PETALING JAYA – Ibu tunggal bersama dua orang anak terpaksa berteduh di sebuah pondok dalam kawasan kolam pancing di Kampung Puah, Setapak dekat sini akibat gagal melunaskan hutang sewa rumah.

Perkara itu didedahkan seorang petugas Skuad Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah berjaya menjejaki keluarga itu baru-baru ini.

Menceritakan keadaan keluarga itu, petugas terbabit memaklumkan bahawa ibu tunggal berusia awal 40-an bersama dua anak yang masih bersekolah rendah telah dihalau dari rumah sewa di sekitar Setapak selepas sewa tertunggak lebih dua bulan.

“Semasa kejadian mangsa bersama anaknya telah pulang ke kampung untuk menziarahi salah seorang ahli keluarga meninggal dunia.

“Bagaimanapun selepas pulang semula ke ibu kota mereka mendapati semua barang-barang termasuk pakaian telah berada di luar rumah sewa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Keadaan dalam pondok yang dihuni tiga beranak itu.

Buntu dengan keadaan itu kata petugas terbabit, tiga beranak itu telah membawa diri sehingga menetap di sebuah pondok dalam kawasan kolam pancing atas ihsan pemilik kolam.

Bagaimanapun katanya, kawasan pondok itu agak terpencil dan berada di dalam kawasan semak serta tiada kemudahan asas seperti elektrik dan air.

“Mereka hanya menggunakan ‘powerbank’ untuk memasang lampu dan sebuah kipas kecil. Sumber air pula di ambil dari kawasan sungai berdekatan.

“Lebih membahayakan apabila mereka kerap terserempak dengan binatang berbisa seperti ular di kawasan kolam terbabit,”katanya.

Tambah petugas itu, ibu tunggal terbabit telah tinggal di pondok itu hampir sebulan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya bergantung kepada makanan percuma daripada pihak MAIWP.

“Wanita ini hanya bekerja apabila dipanggil menolong di kedai makan atau mencuci rumah. Ada kerja, adalah gaji, kedua anaknya juga tidak dapat bersekolah selepas mereka berpindah ke pondok itu,”katanya.

Mengulas lanjut, petugas itu memberitahu bahawa MAIWP akan menyediakan bantuan kewangan bulanan dan bantuan sewa rumah.

“Selain itu MAIWP juga akan menyediakan bantuan segera ‘one off’ sebanyak RM1,500 untuk digunakan wanita itu bagi membayar deposit sewa rumah dan sebagainya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI