LONDON – Pengurus West Ham United, Julen Lopetegui menyeru barisan pemain agar tidak ‘kecut perut’ dan beraksi seperti biasa dalam usaha mencuri mata berharga ketika menentang pendahulu, Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Menurut Lopetegui, barisan pemain perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri, Stadium London meskipun sedar tugas ia bukanlah tugas mudah memandangkan pasukan mereka dilanda krisis kecederaan ketika ini.
Lopetegui berkata, beberapa tonggak utama seperti Max Kilman, Lukasz Fabianski, Guido Rodriguez, Tomas Soucek, Carlos Soler, Michail Antonio tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang The Reds nanti.
“Secara jujur, kami langsung tidak gentar untuk berdepan Liverpool. Dalam masa sama, kami masih menghormati pasukan lawan kerana mereka adalah yang terbaik dalam kancah EPL musim ini.
“Saya mengingatkan pemain untuk percaya dengan keupayaan masing-masing kerana tiada apa yang mustahil selain kami juga berada pada prestasi terbaik selepas tidak tewas sejak empat perlawanan lepas,” katanya.
Mengulas lanjut, Lopetegui mahu sesiapa sahaja yang diturunkan untuk menggantikan tonggak utama perlu memberikan sepenuh jiwa dengan memanfaatkan peluang sebaik mungkin.
“Sekarang adalah masa untuk pasukan membuktikan mereka mampu beraksi dalam satu unit. Cuma, saya risau di bahagian benteng tengah kerana kami hanya ada dua pemain yang cergas ketika ini,” katanya. – AGENSI