LIVERPOOL – Liverpool bertekad untuk terus ‘mencengkam’ kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan melakar kemenangan pada aksi bertemu West Ham United di Stadium London awal pagi esok.
Sebagai rekod, The Reds kini memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan selain enam mata ke atas pencabar terdekat, Arsenal yang kini berada di tangga kedua hasil kemenangan 1-0 ke atas Ipswich Town awal pagi semalam.
Menurut pengurus Liverpool, Arne Slot, barisan pemain tidak boleh terlalu mendabik dada, sebaliknya kekal fokus dalam usaha mengekalkan rekod cemerlang selepas beraksi tanpa tewas dengan enam kemenangan dan dua keputusan seri dalam lapan aksi di tempat lawan.
“Saya harus mengakui antara kekuatan pasukan musim ini adalah kami cukup kebal ketika bertandang ke tempat lawan tetapi mungkin kerana hanya bertemu dengan pasukan-pasukan mudah sejak lapan perlawanan yang lalu.
“Justeru, saya harap rentak momentum itu dapat diteruskan pada perlawanan menentang West Ham nanti kerana kami perlu kekal konsisten tidak kira beraksi di laman sendiri atau di tempat lawan,” katanya.
Dalam masa sama, Slot turut memuji impak yang dipamerkan oleh kapten, Virgil van Dijk yang cukup cemerlang memastikan benteng pasukan sentiasa kebal pada musim ini.
“Van Dijk adalah pemain yang penting buat pasukan kerana dia mampu menaikkan semangat rakan-rakan di atas padang. Saya mahu dia kekalkan prestasi agar dapat membantu pasukan mencapai impian besar kali ini,” katanya. – AGENSI