PETALING JAYA – Diuji sakit menjelang penutup 2024, pelakon Adam Lee bersyukur apabila hasil ujian pengimejan resonans magnet (MRI) akibat kecederaan dialami tidak menunjukkan bahawa tulang lehernya patah atau ada bahagian yang retak.
Adam atau Muhamad Arif Adam Mohamad Fadlee, 30, berkata dia hanya mengalami kecederaan annnular tear dan trapezius spasm aitu koyak tisu fiber kolegan yang memerlukannya untuk berehat dengan cukup.
“Menerusi MRI, tiada keretakan atau patah tulang leher. Hanya Annular Tear dan Trapezius Spasm (koyak pada fiber kolegan).
“Saya dan isteri sangat terkejut dan bersyukur dengan keputusan yang dikeluarkan adalah lebih baik dari apa yang kami jangkakan.
“Alhamdulillah, terima kasih yang mendoakan Adam. Buat semua juga, tolong dengar cakap badan jika ia perlukan rehat,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Menurut suami kepada pelakon Sweet Qismina itu, ujian imbasan X-ray yang dijalani itu adalah untuk mengesan sebarang kecederaan dalaman.
“Bunyi ‘pop’ pada leher yang saya dengar ketika latihan berkemungkinan adalah koyakan bahagian annular. Doktor klinik rujukkan kes saya ke hospital sebab lebih tepat ujian berbanding x-ray,” ujarnya.
Katanya, biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan teruk, keadaannya masih dikategorikan pada tahap serius dengan proses pemulihan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan.
“Keadaan saya? Masih sakit dan azabnya Allah sahaja yang tahu sebab untuk sembuh sekurang-kurangnya sebulan tempoh masa diperlukan.
“Saya juga kena lebih berhati-hati. Kalau kena lagi, kemungkinan sakit itu akan sama atau lagi teruk,” katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Babah itu turut memohon maaf terpaksa menarik diri untuk beberapa projek untuk Januari selain memaklumkan mula bekerja pada Februari 2025.
Khamis lalu, Adam dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di bahagian lehernya ketika menjalani sesi latihan muay Thai. – KOSMO! ONLINE