PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh digesa untuk menarik semula kenyataan berkaitan pengampunan Diraja membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli berkata, perkara itu wajar dilakukan kerana pertikaian terhadap bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh menjejaskan pandangan terhadap keluhuran institusi.
“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Akmal menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri (Anwar) dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, fakta asas mengenai pengampunan Anwar pada 2018 adalah atas dasar pelanggaran prinsip keadilan dan telah melalui proses wajar termasuk pertimbangan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, isu yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum.
Menurut Adam, pengurniaan pengampunan bukan dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.
“Madani tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau. Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti yang ada kepentingan masing-masing. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.
“Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah Kerajaan Madani?” soalnya.
Adam berkata, Datuk Seri Najib Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr. Mahathir dandijatuhkan hukuman penjara pada 2022 semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
“Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar.
“Hari ini, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik,” ujarnya.
Tambah Adam, semua pihak termasuk Akmal harus menjadi contoh kepada kepentingan memegang kepada prinsip perlembagaan.
“Bukan semuanya mengenai politik individu atau keperluan pihak tertentu. Negara akan hancur tanpa dukungan terhadap Perlembagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE