SEBERANG PERAI – Tiket tren MySawasdee Edisi Penang yang memulakan perjalanan pertamanya ke Hatyai hari ini mendapat permintaan tinggi apabila sebanyak 70 peratus tiket telah terjual.
Ketua Tugas-Tugas Khas (Hal Ehwal Antarabangsa) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Roshidi Yahaya berkata, sebanyak 360 tempat duduk ditawarkan bagi setiap perjalanan sebagai tempoh percubaan sehingga 5 Januari lalu.
Menurutnya, laluan dari Stesen Butterworth – Hat Yai – Butterworth menghubungkan beberapa stesen utama, termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
“Perkhidmatan ini adalah percubaan laluan yang kita adakan khas untuk menilai permintaan dan sambutan penumpang penumpang untuk dikembangkan ke beberapa lokasi tumpuan pada masa akan datang.
“Melalui inisiatif ini, kita menjangkakan kemasukan pelancong dari Thailand ke Malaysia, yang bakal memberi manfaat kepada pelancongan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara,” katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan tren MySawasdee Edisi Penang di Stesen KTMB Butterworth di sini hari ini.
Katanya, tiket sehala bagi tempoh perjalanan sehingga 5 Januari depan masih boleh dibeli menerusi pelbagai platform yang disediakan antaranya aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan kiosk.- KOSMO!