SEREMBAN – Sebanyak 5,306 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan dalam tempoh lima hari Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilaksanakan bermula 25 Disember lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, larangan penggunaan kereta motor PG. 1 iaitu penggunaan kenderaan tidak mematuhi peraturan JPJ dan perlu diperiksa lanjut antara kesalahan tertinggi dikesan menerusi operasi berkenaan setakat hari ini.
“Ia melibatkan pengeluaran notis kesalahan sebanyak 2,473 bagi kenderaan barangan dan 16 kesalahan bagi kenderaan perkhidmatan awam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,489 notis telah dikeluarkan.
“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 17,729 kenderaan perdagangan telah diperiksa melibatkan 15,770 kenderaan barangan dan 1,959 kenderaan perkhidmatan awam.
“Manakala, jumlah kenderaan diambil tindakan sebanyak 1,787 dengan 1,716 melibatkan kenderaan barangan dan jumlah kenderaan disita pula sebanyak 16 buah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Hentian Rehat dan Rawat Seremban (arah selatan) di Seremban di sini, hari ini.
Katanya, menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ ini, pihak JPJ telah menggerakkan lebih 1,500 anggota yang menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan kenderaan perdagangan seperti kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas, teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.- KOSMO! ONLINE