HULU TERENGGANU – Empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah mula beroperasi berikutan banjir yang kembali melanda daerah ini sejak petang tadi.
Setakat ini, seramai 112 mangsa daripada 37 keluarga telah berpindah masuk ke empat PPS berkenaan.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, empat PPS tersebut ialah Balai Raya Kampung Kemat, Balai Raya Kampung Peneh, Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Cheting.
“Seramai 38 mangsa daripada 12 keluarga berada di Balai Raya Kampung Kemat.
“PPS Balai Raya Kampung Peneh pula mempunyai 35 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 20 mangsa daripada lima keluarga sedang berlindung di PPS Kampung Lubuk Periuk.
Beliau berkata, PPS Kampung Cheting pula mempunyai 19 mangsa daripada enam keluarga.
Terdahulu, daerah ini kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berlarutan selama lebih 20 jam sejam malam semalam. – KOSMO! ONLINE