PETALING JAYA – Dua lelaki merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Banda Hilir, Melaka, semalam.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, dua pekerja kedai emas dilihat berdiri di depan meja paparan semasa kejadian.
Seorang suspek memasuki kawasan tertutup untuk pekerja sahaja dan cuba membuka meja paparan, manakala seorang lagi berlegar-legar di dalam kedai.
Pada saat ke-43, suspek dilihat mengarahkan sesuatu kepada salah seorang pekerja, menyebabkan wanita itu mengangkat tangan dipercayai untuk menenangkan keadaan.
Kedua-dua suspek kemudian bergerak ke meja paparan lain dan memanjatnya untuk mengambil sedulang emas.
Melihat suspek leka, salah seorang pekerja mengambil kesempatan melarikan diri keluar dari premis.
Panik dengan situasi itu, kedua-dua suspek turut melarikan diri sambil membawa sedulang emas, sementara seorang lagi pekerja yang masih berada di dalam kedai segera menelefon pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE