fbpx

‘Universal thinking’ bantu lonjak perniagaan usahawan bumiputera – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tengah) ketika menyaksikan penyerahan cek Tabung Bangunan Perdasama pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) di Tamu Hotel, Kampung Baru Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Semua usahawan terutamanya ahli Persatuan Pedangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) perlu menerapkan konsep ‘universal thinking’ (pemikiran universal) bagi membolehkan perniagaan mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Ini kerana kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani konsep itu telah lama digunakan syarikat gergasi berasal dari luar negara yang menjalankan perniagaan di negara ini.

Malah katanya, meskipun mereka bukan berstatus bumiputera ataupun muslim, tetapi telah berjaya mengeksport produk halal bernilai berbilion ringgit ke pasaran luar negara.

“Konsep ini saya tekankan kepada peniaga dan usahawan khususnya dalam Perdasama kerana persatuan ini mengumpul hampir 27,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Saya tekankan kepada mereka ini (usahawan Perdasama) pemikiran universal kerana dengan bumiputera sahaja mereka tidak boleh menjadi kuat.

“Mesti kembangkan konsep perniagaan ini kepada masyarakat meskipun bukan bumiputera kerana ia adalah sebahagian daripada rangkaian ataupun ekosistem untuk perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26, Perdasama yang turut dihadiri Presiden Perdasama, Mohd Azmannizam Baharon.

Mengulas lanjut, Johari berkata, tiga perkara perlu ditekankan untuk sesebuah perniagaan mampu bertahan dan berjaya.

“Pertama pastikan bahawa kita mempunyai semangat yang kental, semangat yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa bekerja bersungguh sungguh untuk berjaya sebagai usahawan.

“Kedua, saya tekan kepada mereka (usahawan Perdasama) betapa pentingnya kita menjaga kakitangan kerana mereka adalah penggerak kepada perniagaan,” katanya.

Johari menambah, untuk maju dalam perniagaan juga, syarikat perlu mendapatkan kepercayaan daripada pembekal atau ‘supplier’.

“Kalau mereka (pembekal) percaya kepada kita, maka sebesar mana pun perniagaan kita ini, mereka akan sokong kerana percaya kita akan menjaga kepentingannya sebagai pembekal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI