BEBERAPA rombakan termasuk perubahan serta penambahan hampir 15 acara dilakukan tuan rumah menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan pada 9 hingga 20 Disember tahun depan.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, rombakan tersebut berada di luar jangkaan, namun pihaknya tetap menyambut baik dan menghormati keputusan tuan rumah.
Jelas beliau, menerusi rombakan yang dibuat, 585 acara bakal dipertandingkan melibatkan 56 jenis sukan dan difahamkan ia adalah senarai akhir untuk temasya sukan Asia Tenggara itu.
“Ada penambahan acara Sukan SEA 2025 nanti. Mereka (tuan rumah) ada buat permintaan berhubung perkara tersebut dan kita terima penambahan acara sukan dilakukan tuan rumah.
“Antara acara yang ditambah melibatkan sukan olahraga iaitu 20 kilometer (km) jalan kaki lelaki dan wanita serta 3,000 meter (m) lari berhalangan lelaki dan wanita. Untuk (penambahan) pelayaran pula ialah keelboat SSL47 campuran,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa sukan lain turut mengalami perubahan acara, termasuk berbasikal di mana acara mountain bike cross country eliminator wanita diubah kepada kriterium lebuh raya wanita.
Sukan gimrama juga tidak terkecuali daripada terlibat dengan rombakan yang dibuat tuan rumah apabila acara final all around berpasukan wanita ditukarkan kepada berpasukan wanita.
“Secara keseluruhan, jumlah acara setakat ini adalah 585 acara dan kita anggap ia sebagai senarai akhir kerana mereka kata ia sudah final (keputusan akhir),” ujar Nazifuddin yang hadir merasmikan Kidslympics Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. – KOSMO! ONLINE