fbpx

K2

Tekong Nan Legend tak mahu kaki pancing pulang tangan kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tekong Nan Legend (kiri) dikenali kaki-kaki pancing di sekitar utara tanah air. Sebagai tekong, pendekatan Tekong Nan ialah berpindah-pindah lokasi agar para pemancing tidak bosan menunggu ikan memakan umpan.

Jika anda peminat aktiviti memancing laut dalam terutama di kawasan utara tanah air, nama Md. Adnan Ariffin atau lebih mesra dikenali sebagai Tekong Nan Legend mungkin sudah tidak asing lagi.
Adnan yang berusia 47 tahun berasal dari Pulau Pinang merupakan seorang jurutera kilang di Bayan Lepas, namun minat memancing dijadikan hobi sebagai sumber pendapatan sampingan.

Dengan pengalaman lebih lapan tahun membawa pemancing ke lokasi-lokasi lubuk ikan, Tekong Nan kini terkenal dengan perkhidmatan memancing di sekitar kawasan Pulau Kendi dan sekitarnya.

Bermula dengan bot kecil bermotor berkuasa 40hp, Tekong Nan mula melibatkan diri dalam aktiviti memancing bersama rakan-rakannya.

Berkat usaha gigih, dia kini memiliki bot sepanjang 26 kaki (7.9 meter) yang mampu memuatkan antara lapan hingga sembilan orang, lengkap dengan enjin berkuasa 115hp.

Tekong Nan berkata, kawasan perairan Pulau Kendi, Pulau Rimau, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah merupakan antara ‘port’ permainannya sejak menceburkan diri dalam dunia memancing.

Katanya, biarpun kawasan berhampiran Pulau Kendi sedang rancak ditambak untuk tujuan pembangunan Pulau Silikon, pulau berkenaan kekal menjadi lubuk ikan jenahak serta kerapu.

“Kawasan saya melabuhkan bot ialah di pantai Seagate (jeti nelayan Seri Jerejak 2) dan dari sini saya akan membawa pemancing ke kawasan memancing yang sering menjadi port-port kaki pancing.

“Cara saya mungkin berlainan daripada tekong lain kerana saya gemar berpindah-randah ketika membawa pemancing bagi memastikan mereka tidak bosan menunggu ikan memakan umpan.

“Jika sesuatu lokasi tidak ‘mengena’ saya akan berpindah ke lokasi lain dalam masa 30 minit. Pendekatan ini memastikan setiap pelanggan saya berpeluang merasai tarikan ikan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga bersedia untuk menurunkan ilmu kepada para pemancing terutama mereka yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing ini bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

“Sentapan ikan pada mata kail ini sebenarnya mengasyikkan sebab itu saya akan pastikan mereka yang tiada ilmu memancing pun akan mendapat ikan jika turun dengan saya.

“Saya akan ajar mereka teknik-teknik memancing sehingga mereka dapat rasa sendiri keseronokan ketika umpan dimakan ikan.

“Sudah pasti jika sekali mereka rasa tarikan ikan pada mata kail, mereka tidak lagi akan berpaling daripada hobi memancing ini,” katanya.

Tekong Nan memberitahu teknik memancing yang sering digunakan termasuk kaedah bottom fishing dan jigging, bergantung kepada tahap kemahiran pemancing.

Katanya, dia juga memberi perhatian kepada kelengkapan memancing pelanggan, seperti jenis perambut dan tali utama (mainline).

“Selalunya pemancing mahu melabuhkan joran di kawasan terumbu karang seperti di Pulau Kendi.

“Kalau main di kawasan karang, saya galakkan pakai benang dan bukannya tangsi,” jelasnya.

Tekong Nan memaklumkan, perkhidmatannya beroperasi pada hujung minggu dengan jadual yang disesuaikan mengikut keadaan air pasang dan surut.

“Waktu terbaik untuk memancing biasanya berlaku dua kali dalam sebulan, bergantung kepada fasa bulan. Jadual saya sebenarnya telah penuh hingga awal tahun depan,” katanya.

Tambahnya, harga pakej memancing bergantung kepada lokasi dan jumlah pelanggan dalam satu bot.

“Contohnya, untuk kawasan Tukun Maritim yang paling jauh, cajnya RM700 untuk lima pelanggan.

“Setiap tambahan pelanggan dikenakan caj RM50, dengan kapasiti maksimum enam orang bagi perjalanan jarak jauh,’’ katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat Tekong Nan Legend, anda boleh berhubung dengan beliau di laman Facebook Adnan Ariffin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI