JEMPOL – Polis mengesahkan akan ada lagi tangkapan membabitkan pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan lapan individu berdasarkan video tular dan juga pengecaman suspek terlibat.
“Arahan saya tangkap semua. Siapa ada dalam insiden itu dan yang mencetuskan ((pergaduhan kumpulan penyokong bola sepak) tangkap semua. Kes ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Peringkat pertama kita telah tangkap dua orang, kemudian peringkat kedua kita dapat tangkap enam orang. Untuk siasatan ini kita banyak bergantung kepada pengecaman orang dan gambar. Kita sekarang dalam proses untuk melengkapkan siasatan.
“Kita telah pun membuat tangkapan dan ada lagi beberapa orang akan cuba dikesan. Kita ada footage (rakaman) yang jelas… insya-Allah akan buat tangkapan,” katanya selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita) Siri 1/2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, di sini, hari ini.
Pada 21 Disember lalu, polis mengesan satu video tular memaparkan kejadian pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.
Insiden pergaduhan itu melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan. – KOSMO! ONLINE