PETALING JAYA – Seorang staf menunjukkan kejujuran luar biasa apabila memulangkan lebihan gaji sebanyak RM7,200 yang tersilap dimasukkan oleh majikannya.
Perkara itu dikongsikan oleh majikannya, Dr. Zul Ariffin Maarof menerusi hantaran di Threads yang mana beliau menunjukkan tangkap layar perbualan WhatsApp antara dirinya dan staf tersebut.
Dalam perbualan tersebut, staf berkenaan memaklumkan bahawa jumlah gaji yang diterimanya tidak tepat kerana sepatutnya RM1,942.95, namun tersalah dikreditkan sebanyak RM9,142.95.
Staf itu juga dilihat terus meminta nombor akaun majikan untuk memulangkan lebihan wang tersebut.
“Bila dapat staf yang jujur, salah masuk gaji terus telefon bagitahu salah terima gaji. Alhamdulillah,” tulis Zulariffin dalam kapsyen hantaran itu.
Beliau turut berseloroh mengenai perbezaan jumlah gaji yang besar itu sambil mendoakan rezeki dan kemajuan semua ahli pasukannya pada tahun 2025.
Tindakan pantas staf tersebut mendapat pujian daripada pengguna media kerana kejujuran dan integriti yang ditunjukkan.
“Sebab dia tahu hukum makan duit haram. Benda sama pernah terjadi pada saya di sebuah syarikat besar. Mereka tersalah bagi gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada saya tapi saya tahu hukum makan duit haram, jadi darah daging. Nauzubillah. Saya terus jumpa sumber manusia,” cerita Sueanna tentang pengalaman serupa.
“Rezeki tuan dapat pasukan yang jujur. Dia pun mesti pelik bila tengok akaun. Eh ada bonus lebih ke?,” ujar Syafiq Abu.
“Tambah sikit duit untuk dia. Hadiah sebab dia jujur,” cadang Farah. – KOSMO! ONLINE