MADRID – Juara Sepanyol, Real Madrid dikatakan kekal dengan pendirian mereka berhubung prospek perpindahan melibatkan kapten yang juga tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.
Van Dijk dianggap antara salah seorang pemain terbaik dunia di posisinya dan sentiasa menampilkan persembahan terbaik sejak menyertai The Reds daripada Southampton pada Januari 2018.
Bagaimanapun, bintang berusia 33 tahun itu akan tamat kontrak musim depan dengan spekulasi ketika ini hangat memperkatakan Real bakal memanfaatkan situasi tersebut dengan mendapatkan khidmatnya.
Menurut laporan media Sepanyol, Marca mendakwa Los Blancos ketika ini tidak bercadang menyambar Van Dijk memandangkan mereka sudah mengikat kontrak dengan David Alaba dan Antonio Rudiger secara percuma sebelum ini.
Difahamkan, Real lebih cenderung untuk mencari calon lebih muda sebagai masa depan kelab itu meskipun menyedari keupayaan yang dimiliki pemain seperti Van Dijk.
Buat masa ini, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu mengalami krisis kecederaan serius di benteng pertahanan yang menyaksikan bek tengah utamanya, Eder Militao terlepas aksi musim ini disebabkan masalah anterior cruciate ligament (ACL).
Penggantinya, Raul Asencio, 21, berjaya membuktikan kualitinya selain Real juga bercadang untuk memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain muda seperti Joan Martinez, Jacobo Ramon dan Diego Aguado.
Disebabkan itu, Real hampir pasti tidak akan membeli Van Dijk yang dalam masa sama juga dikatakan sedang berunding kontrak baharu dengan Liverpool, namun masih belum ada sebarang pengesahan rasmi. – AGENSI