MANCHESTER – Bintang buangan Manchester United, Marcus Rashford hampir pasti sudah boleh mengemas beg dan meninggalkan kelab itu seawalnya pada jendela perpindahan bulan depan selepas sekali lagi tersisih daripada skuad utama.
Rashford, 27, diketepikan kali ketiga berturut-turut oleh pengurus United, Ruben Amorim ketika tewas mengejut 0-2 kepada Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi semalam.
Difahamkan, The Red Devils telah menetapkan tanda harga sekitar £50 juta (RM280.33 juta) buat Rashford dengan kelab itu mahu menggunakan dana tersebut mendapatkan calon baharu selepas ini.
Bagaimanapun, tiada mana-mana pasukan dilaporkan sedia membayar harga tersebut selain faktor gaji tinggi £300,000 (RM1.68 juta) seminggu yang diterima penyerang England itu.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan Rashford sejak disisihkan ketika menang 2-1 ke atas Manchester City pada 15 Disember lalu, Amorim mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ terhadap keputusan itu.
“Ia sentiasa alasan yang sama (saya) akan diberikan. Kami perlu sentiasa bersikap profesional sama ada ketika menang atau kalah. Saya perlu kuat dan teruskan idea ini sehingga ke penghujung musim.
“Jika dia (Rashford) tiada di sini, maka anda semua boleh berkata apa sahaja,” kata Amorim dalam sidang akhbar selepas tamat aksi menentang Wolves awal pagi semalam.
Difahamkan, Amorim bercadang untuk mendapatkan salah seorang antara Khvicha Kvaratskhelia, Nico Williams dan Kaoru Mitoma sebagai pengganti kepada Rashford. – AGENSI