ASTANA – Pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas sehingga mengorbankan 38 orang minggu ini dipercayai ditembak oleh sistem pertahanan udara Russia, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Siasatan awal kerajaan Azerbaijan mendapati pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu sistem pertahanan udara buatan Russia, Pantsir-S.
Penerbangan J2-8243 membawa 62 penumpang dan lima kru itu terhempas dekat bandar Aktau, barat Kazakhstan.
Ketika nahas berlaku, pesawat itu dalam perjalanan dari ibu kota Azerbaijan, Baku menuju bandar Grozny di Russia.
Imej radar penerbangan menunjukkan pesawat terbabit melalui Republik Dagestan di perairan Laut Capsian sebelum hilang daripada radar dan terdedah kepada sistem pertahanan udara Russia.
Ia muncul kembali dalam radar kira-kira sejam kemudian dan terbang rendah dekat barat Kazakhstan sebelum terhempas.
Empat sumber kerajaan Azerbaijan memberitahu agensi berita Reuters bahawa pesawat itu berkemungkinan ditembak oleh sistem pertahanan udara Russia kerana terbang di lokasi aktiviti dron Ukraine dilaporkan.
Saluran berita Euronews memetik sumber kerajaan Azerbaijan sebagai berkata, siasatan awal mendapati peluru berpandu darat ke udara Russia ditembak ke arah pesawat itu.
“Misil itu meletup di sebelah pesawat, manakala serpihannya terkena penumpang dan kru kabin,” kata laporan itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, ‘petunjuk awal mendapati pesawat itu terkena tembakan sistem anti-pesawat’.
Penggunaan sistem pertahanan udara itu sejajar dengan laporan serangan dron Ukraine di Chechnya semasa nahas berlaku.
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata: “Ia adalah salah untuk membuat sebarang spekulasi mengenai punca nahas tersebut.”
Firma keselamatan penerbangan, Osprey Flight Solutions menghantar amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan selepas menilai rakaman nahas dan kerosakan pada pesawat Azerbaijan Airlines, lapor Wall Street Journal.
Ketua Pegawai Perisikannya, Matt Borie berkata: “Rakaman bangkai pesawat dan keadaan ruang udara di barat daya Russia menunjukkan kemungkinan pesawat itu terkena tembakan sistem anti-pesawat.”
Osprey Flight Solutions turut mengeluarkan lebih 200 amaran mengenai serangan dron dan sistem pertahanan udara di rantau tersebut.
Rakaman dari lokasi nahas menunjukkan lubang mencurigakan pada fiuslaj atau badan pesawat, membawa kepada spekulasi kapal terbang itu ditembak oleh Russia.
Beberapa penganalisis tentera Russia daripada Pasukan Perisikan Konflik sebelum ini berkata, lubang tersebut mungkin berpunca daripada peluru berpandu pertahanan udara Pantsir-S1.
Seorang blogger yang menyokong Kremlin, Yuriy Podolyaka menyatakan bahawa pesawat itu ‘menunjukkan kerosakan yang konsisten dengan peluru berpandu pertahanan udara, meletup dari sisi dan ke atas’.
“Mangsa yang terselamat dilaporkan mendengar bunyi kuat semasa percubaan mendarat kali ketiga dalam keadaan berkabus di Grozny sebelum dilencongkan ke Makhachkala.
“Ia mungkin terkena bedilan dalam tindak balas pertahanan terhadap serangan ke atas Grozny,” tambahnya.
Menteri Pengangkutan Kazakhstan, Marat Karabayev berkata, pihak berkuasa masih belum membuat sebarang kesimpulan mengenai dakwaan pertahanan udara Russia menembak pesawat tersebut.
Kira-kira 150 anggota pasukan kecemasan dikerah ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat serta memadamkan api yang menjulang tinggi.
Pasukan penyiasat yang diketuai pejabat pendakwa raya Azerbaijan menemui kotak hitam yang mendedahkan komunikasi terakhir juruterbang, beberapa saat sebelum pesawat terhempas.
Salah seorang juruterbang berkata: “Saya hilang kawalan!”
Juruterbang dilaporkan cuba membawa pesawat itu ke tiga lapangan terbang berbeza tetapi gagal mendarat, selain terputus komunikasi dengan kru darat sebelum hilang dari radar selama 37 minit.
Sebuah rakaman tular menunjukkan seorang penumpang memaparkan detik cemas sebelum pesawat itu terhempas.
Dalam video itu, beberapa penumpang mula menjerit ketakutan, manakala yang lain cuba menghubungi orang tersayang masing-masing.
Mereka yang berdoa, beristighfar dan mengucapkan kalimah syahadah berulang kali.
Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 29 orang berjaya diselamatkan, namun tujuh berada dalam keadaan kritikal. – AGENSI