fbpx

Permohonan Najib perlu melalui Lembaga Pengampunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata, jika mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

“Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal itu katanya, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai.

Katanya, perkara itu bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI