PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melantik seramai 26 pempengaruh media sosial sebagai Rakan Strategik HASiL (RASH) 2.0 bagi tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, lantikan itu seiring dengan persekitaran dan perkembangan media baharu dalam menyebarluaskan informasi percukaian menerusi pempengaruh yang kini menjadi ikutan dan tauladan masyarakat.
“RASH 2.0 adalah merupakan kesinambungan daripada prograsm RASH 1.0 bagi tahun ini di mana pelantikannya kini diperluaskan kepada pempengaruh dari seluruh negeri.
“Menerusi kejayaan program RASH 1.0 LHDN akan terus mengiktiraf para pempengaruh dan kreativiti yang dihasilkan mereka untuk mempromosikan jenama LHDN melalui penciptaan kandungan yang berbentuk kesedaran, pendidikan dan tanggungjawab percukaian kepada negara,” katanya.
Antara rakan strategik itu ialah pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, pelawak dan pengacara, Ahmad Nabil Ahmad.
Selain itu katanya, pelantikan 26 orang pempengaruh itu dilihat sebagai perspektif baharu dalam membentuk persepsi baik dalam kalangan masyarakat umum khasnya para peminat dan pengikut RASH 2.0 melalui kandungan liputan positif mereka.
“Ia seterusnya mewujudkan persekitaran masyarakat yang bertanggungjawab terhadap negara.
“Faktor keterlihatan dan jangkauan merupakan aset penting pada pempengaruh yang dilihat mampu menggandakan usaha LHDN menyebarluas agenda kesedaran dan pendidikan cukai kepada masyarakat seterusnya dapat meningkatkan semangat patriotik dan tanggungjawab kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE