KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memfailkan notis tuntutan saman terhadap blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris, kerana memfitnah beliau melalui media sosial.
Difahamkan, saman itu berkaitan dakwaan memfitnah dengan melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman tersebut difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Kbtan, Kumar & Partners.
Peguam Razarudin, Raam Kumar, berkata plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, serta ganti rugi am, teruk atau teladan, dan khas.
“Plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
“Plaintif juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan,” katanya.
Tambah Raam, plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa serta media dalam talian
“Kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif,” katanya.
Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi mengesahkan tindakan saman tersebut tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
Sebelum ini, Papagomo telah diambil keterangan pada 19 Disember berhubung video yang memfitnah beliau serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-KOSMO! ONLINE