MANCHESTER – Kegagalan untuk raih kemenangan ke atas Everton mencetuskan perdebatan hebat membabitkan masa depan pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Walaupun Guardiola kekal dengan sikap positif dengan keputusan seri 1-1 kelmarin, tekanan berat pastinya sedang menyelubungi pasukan hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Wujud andaian mengatakan Guardiola akan mengundur diri sekiranya beliau gagal memulihkan situasi pasukan yang kini sudah dipalit kemarau kemenangan dalam lima aksi terakhir.
“Kami bermain dengan cukup bagus namun inilah situasi yang kami hadapi sekarang. Prestasi pasukan agak baik dalam kedua-dua aspek, menyerang dan bertahan.
“Kami banyak melakukan percubaan di kotak penalti, namun keputusan akhirnya tidak seperti apa yang kami mahukan,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Bernardo Silva terlebih dulu meletakkan City di depan, namun Everton bangkit memperoleh jaringan penyamaan menerusi Iliman Ndiaye.
City yang dipalit masalah kecederaan pemain seperti Ruben Dias, Ederson, Jack Grealish, John Stones dan Kyle Walker turut dikecewakan oleh kecemerlangan penjaga gol lawan, Jordan Pickford yang menyelamatkan sepakan penalti Erling Haaland.
“Saya tidak tahu, tetapi jendela perpindahan musim sejuk agak sukar. Kami perlu berbincang dengan pengurusan kelab kerana mereka yang akan menentukannya,” katanya tentang kemungkinan City akan mendapatkan pemain baharu. – AGENSI