MELAKA – Dua anak pasangan Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, yang maut dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, Isnin lalu dibenarkan pulang petang ini.
Nur Sofea Humaira, 4, dan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang menerima rawatan di Hospital Melaka di sini akan dihantar ke rumah datuknya di Bangi, Selangor dengan
menaiki ambulans.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Nur Sofea menjalani pembedahan tulang paha kiri pada Rabu lalu dan keadaannya dilaporkan semakin pulih.
“Muhammad Uwais pula menjalani pembedahan memasukkan besi di paha kanan. Dia turut menunjukkan perkembangan baik.
“Seorang lagi mangsa pemandu lori, Mohamad Syafiq Mohd. Zuki berusia 27 tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka sudah sedar sejak semalam dan sudah boleh bercakap.
“Tetapi dia masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan kerana kesukaran bernafas disebabkan kecederaan pada paru-paru,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hee Sem berkata, pemandu lori itu akan menjalani pembedahan kali kedua di paha kanan pada minggu pertama Januari ini.
Dalam kejadian pukul 8.45 malam, 23 Disember lalu, tujuh maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan bas persiaran, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Mangsa yang terkorban ialah pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan bersama isteri, anak bongsu pasangan itu, Muhammad Umar, 2, serta ibu bapa mentua, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab. Wahab, 66.
Turut terkorban pemandu bas Noorisnien Khamid, 56, dan pemandu pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66. – KOSMO! ONLINE