TEKA-teki mengenai status Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal diberi peranan khas untuk menerajui skuad kebangsaan bakal terjawab dalam masa terdekat.
Bayangan tersebut disuarakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam yang mahu CEO skuad Harimau Malaya perlu arif dalam segala aspek.
“CEO pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.
“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi merangka hala tuju Harimau Malaya.
“Selain itu, beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya,” kata Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu individu terbabit dapat memberi peranan dalam membantu meningkatkan lagi mutu saingan Liga Malaysia pada masa depan.
“Beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan.
“Ini kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan bekas penyerang antarabangsa Australia, Tim Cahill berpotensi untuk dilantik menjadi CEO baharu Harimau Malaya selepas dilihat sering bersama Tunku Mahkota Ismail dalam beberapa upacara besar tahun ini.