KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen menggalas misi penting menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 7 hingga 12 Januari ini.
Bin Shen menganggap kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu sebagai salah satu misi yang masih tertangguh sebelum beliau meninggalkan skuad kebangsaan sebaik kontraknya tamat 13 Januari nanti.
Justeru, Bin Shen berharap beliau mampu mengemudi anak-anak buahnya terutama Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memastikan gelaran Terbuka Malaysia menjadi milik mereka, sekali gus menjadi hadiah perpisahan terbaik buatnya.
“Ketika masuk ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya memang ada sasaran tersendiri untuk dicapai. Bagi saya, apa yang saya sasarkan itu 60 peratus sudah dicapai dan masih ada baki 40 peratus.
“Terbuka Malaysia adalah salah satu kejohanan yang berada dalam sasaran. Jadi, saya harap kita mampu capai kemenangan, lebih-lebih lagi kita beraksi di laman sendiri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Terdahulu, BAM mengumumkan jurulatih berusia 40 tahun itu bakal meninggalkan badan induk berkenaan selepas menabur bakti selama empat tahun sejak 2020 dengan destinasi seterusnya adalah ke Hong Kong.
Bin Shen menjelaskan, keputusan itu dibuat sebaik sahaja mendapat restu daripada keluarga selepas beliau dipelawa ketua jurulatih Hong Kong, Wong Choong Hann untuk beralih angin mencuba pengalaman baharu.
“Memang Choong Hann yang pelawa saya beberapa bulan sebelum ini pada satu kejohanan. Ketika itu, masih belum pasti kerana saya ada keluarga dan anak kecil, namun selepas mengadakan perbincangan, saya buat keputusan.
“Saya menyertai BAM sudah empat tahun dan ada capai sasaran ditetapkan, jadi sekarang saya mahu meneroka lebih banyak benda dan menimba pengalaman baharu. Saya harap ia dapat membantu saya untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.