MERSING – Lapan sekelurga cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Jalan Mersing Nitar – Felda Nitar di sini pada pukul 1 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.01 petang dan seramai 13 anggota BBP Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai sembilan mangsa terlibat dalam kemalangan itu yang mana lapan daripada mereka adalah satu keluarga berusia tiga hingga 39 tahun.
“Nahas melibatkan sebuah treler dan kenderaan jenis Toyota Caldina. Pemandu lori selamat manakala pemandu kereta pula tersepit. Pasukan operasi melakukan kerja-kerja menyelamat dan membawa semua mangsa ke hospital.
“Difahamkan, mangsa yang menaiki Toyota Caldina terdiri daripada pasangan suami isteri dan enam anak. Kesemua mereka mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE