SUDAH hampir dua minggu drama fenomena, Andai Tiada Dia melabuhkan tirai, namun impak naskhah arahan Riza Baharuddin tersebut nampaknya masih menjadi bualan ramai.
Meski pada awalnya ramai yang skeptikal dengan jalan cerita berkisarkan kecurangan si suami, namun hakikatnya karya tersebut masih berjaya menarik penonton, sekali gus unggul menjadi antara drama yang mempunyai rating tertinggi.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan drama yang mengangkat isu curang dalam rumah tangga masih berjaya menarik penonton ‘melekat’ di hadapan televisyen walaupun pernah menerima kecaman teruk sebelum ini.
Minggu ini, Gala menyenaraikan drama yang ‘menjual’ isu curang sehingga berjaya mencatat jumlah tontonan tinggi dan meledak dalam media sosial.
Layangan putus
DRAMA fenomena Indonesia, Layangan Putus berjaya menarik perhatian penonton termasuk di Malaysia kerana jalan ceritanya yang mengisahkan kisah curang si suami terhadap isteri yang sememangnya menjadi plot cerita ‘kegemaran’ ramai.
Drama 10 episod ini menceritakan tentang Kinan (Putri Marino) dan Aris (Reza Rahadian), pasangan suami isteri berhadapan dengan konflik rumah tangga gara-gara pasangan berlaku curang.
Lebih menyakitkan hati apabila Kinan ditipu dan diperbodohkan oleh suami sehingga banyak menghabiskan masa di luar berbanding bersama keluarga sendiri.
Adaptasi novel tayangan sekitar 2022 itu diadaptasi adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang wanita.
Beberapa babak dalam drama yang disiarkan menerusi platform WeTV itu turut tular dan netizen melakukan video parodi.
Wanita Syurga
Wanita Syurga berkisarkan kisah cinta Ardini Zahira lakonan Siti Khadijah yang dikhianati suaminya, Amar Ilhami (Redza) selepas berlaku curang dengan Farah Mokhtar (Riena).
Bahtera bahagia yang dilayari oleh Ardini dan Amar bergolak sehingga berlakunya perceraian gara-gara helah Farah yang ingin memiliki lelaki yang dicintainya itu sepenuhnya selepas berpoligami.
Naskhah arahah Riza Baharuddin itu berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata dengan lakonan hebat Siti Khadijah selain menuai kebencian terhadap Farah.
Drama berkenaan turut mendidik penonton agar tidak menjadi wanita yang lemah dan bijak mengendalikan emosi ketika rumah tangga dilanda badai termasuk kehadiran orang ketiga.
The World of The Married
THE World Of The Married adalah sebuah drama bersiri dari Korea yang ditayangkan menerusi JTBC dan mempunyai 16 episod untuk ditonton.
The World Of Married boleh dikatakan antara naskhah paling popular tahun 2020 iaitu ketika ‘musim’ Perintah Kawalan Pergerakan, selain berjaya mengundang perdebatan dalam sosial media tentang isu kecurangan.
Diadaptasi daripada Doctor Foster (2015), karya tersebut menceritakan pembalasan dendam seorang isteri iaitu Sun-woo (Kim Hee-ae) terhadap suaminya Tae-oh (Park Hae-joon) yang curang dengan Yeo Da-kyung (Han So-hee). Biarpun kisah kecurangan ada di mana-mana naskhah berkenaan tetap meledak dan mencetuskan inspirasi buat ramai pengkarya.
Lelaki Itu
NASKhAH Lelaki Itu menampilkan gabungan pelakon ternama sebagai teraju utama, iaitu Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura dan Nabila Huda.
Arahan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif, drama berkenaan berkisar Syed Mirza (Adi) berkahwin dengan Sharifah Qaidah (Sarimah) dan dikurniakan tiga anak perempuan, namun kehidupan rumah tangga mereka tidak seperti diidamkan. Keluarga Qaidah semakin berpecah belah selepas berlaku pelbagai konflik selepas suaminya sudah meninggal dunia.
Perempuan Itu
NASKHAH kontroversi arahan Nur Ain Sharif dan Isma Yusof mengisahkan Emir lakonan Zul Ariffin yang sudah bernikah dengan Khalish (Mimi Lana) mempunyai kekasih ‘gelap’ bernama Seira (Siti Hariesa).
Sebelum ditayangkan, drama berkenaan mencetuskan kekecohan apabila tular aksi ‘panas’ Zul dengan Siti Hariesa sehingga aktor itu diperintah membayar denda berjumlah RM30,000 pada Oktober 2022. Menurut penulis skripnya, Perempuan Itu adalah kisah perjuangan wanita termasuk apakah tindakan seharusnya diambil si isteri apabila teraniaya dan bagaimana menuntut hak wanita dalam Islam.