PETALING JAYA – Susulan dakwaan didera sejak kecil, ibunya pelakon Nelissa Nizam, Ayu Manaf tampil menyangkal pengakuan tersebut yang disifatkan tidak pernah berlaku.
Wanita itu bertegas perlu menjelaskan perkara sebenar selepas kenyataan anak keduanya mengundang pertanyaan banyak pihak, terutama daripada keluarga serta kenalan.
“Dakwaan mengatakan dia (Nelissa) didera sejak umur enam tahun itu memang tidak benar langsung. Tiada sebarang kes penderaan yang berlaku sampailah dia dewasa.
“Sebenarnya yang didera itu saya, dipukul dan disepak terajang. Sebagai anak dia trauma melihat ibunya diperlakukan seperti itu.
“Memang tak tepatlah, tiada kes penderaan (terhadap Nelissa) berlaku. Jadi jangan sebut benda tak betul,” Ayu menerusi satu temu bual sebuah program hiburan, malam tadi.
Penjelasan tersebut dibuat selepas Nelisssa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 26, mengaku sukar membawakan watak membabitkan keganasan domestik dalam drama Bawah Payung Awan kesan trauma zaman kanak-kanak.
Pada masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu turut mendedahkan hubungannya dengan anak-anak juga renggang sejak kebelakangan ini.
Akuinya, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada perkahwinan baharunya kurang disenangi sehinggakan ketika jatuh sakit dan dirawat di hosptal juga, tiada anak-anak datang menjenguknya di hospital.
“Hubungan saya dan anak-anak tidak berapa baik tetapi saya tidak tahu puncanya. Mungkin saya kahwin baru jadi anak-anak tak suka sampai tak pedulikan saya.
“Apa salah saya? Mungkin sejak saya sakit, saya tak bekerja dan susah. Kalau ada salah saya bagi tahu. Kita sebagai ibu sudah tentu mahu anak-anak ada bersama.
“Saya agak ralat, macam mengemis. Mengemis kasih sayang dan kesenangan. Saya masuk hospital setidaknya anak-anak tanya khabar sebab kita sakit,” ujarnya.
Menurut Ayu lagi, dia tidak mengharapkan balasan atas pengorbanan menjaga dan mendidik mereka biarpun melalui kesukaran sebagai ibu tunggal sebelum ini.
Turut memaklumkan sudah menghubungi Nelissa, begitupun katanya reaksi puteri keduanya itu agak dingin.
“Kali terakhir saya bercakap dengan dia memang sangat menyedihkan. Dengan siapa lagi kalau kita susah nak minta tolong, kalau bukan dengan anak-anak.
Tak mengapa mama (panggilan Ayu) tak marah, cuma mama doakan satu hari nanti kalian akan ada suami dan anak-anak, kalian tahulah kehidupan ini macam mana,” katanya.
Setakat ini, usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan maklum balas pelakon terbabit belum berhasil selepas panggilan dan pesanan WhatsApp tidak berjawab. – KOSMO! ONLINE