TAIPING – Tindakan seorang wanita membakar motosikal kerana tidak berpuas hati kenderaan itu akan ditarik mengundang padah apabila dia diberkas pihak polis di sini semalam.
Difahamkan, motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam itu akan ditarik kerana pemiliknya gagal menjelaskan bayaran ansuran selama 20 bulan
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.27 petang berhubung tindakan seorang wanita membakar motosikal dalam kejadian di Jalan Pokok Assam di sini.
Katanya, berdasarkan video tular di media sosial, seorang wanita dirakam menyimbah cecair dipercayai petrol ke atas kenderaan tersebut sebelum bertindak membakarnya.
“Bertindak atas maklumat, pada pukul 7.30 malam semalam, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca apabila suspek tidak berpuas hati dengan tindakan penarik motosikal yang mahu menarik kenderaan itu kerana mempunyai tunggakan selama 20 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Nasir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda. – KOSMO! ONLINE