PETALING JAYA – Penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik seharusnya diwajibkan dalam semua kenderaan berat untuk memastikan masalah mekanikal dikesan secara langsung.
Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, perkara itu antara cadangan NIOSH susulan tragedi kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan di Melaka yang telah meragut tujuh nyawa, termasuk lima sekeluarga pada Isnin lalu.
“Penggunaan teknologi pemantauan canggih mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa.
“Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, NIOSH juga mencadangkan semua kenderaan berat harus diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di bawah pengawasan ketat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus melipat ganda usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang
gagal mematuhi piawaian keselamatan.
“Pemantauan secara berkala dan meluas adalah amat penting untuk mencegah kenderaan yang tidak selamat daripada berada di jalan raya,” katanya.
Manivanan berkata, operator pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas.
“Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam tentang pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan mutlak. Hanya dengan kesedaran dan disiplin tinggi, kemalangan dapat diminimumkan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi bukan kerajaan mesti berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya.
“Kerjasama ini harus merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan lebih ketat dan efektif.
“NIOSH memberi jaminan bahawa kami memiliki pasukan pakar berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian lebih efektif dan lestari,” katanya.
Beliau berkata, pasukan tersebut bersedia menjalankan analisis teknikal, penyiasatan punca kemalangan, serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang tepat dan sesuai.
Tambahnya, NIOSH juga menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik bertujuan meningkatkan kesedaran pemandu serta membantu organisasi dalam mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang relevan. – KOSMO! ONLINE