fbpx

Valencia tekad pulihkan reputasi buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VALENCIA (jersi putih) hanya mampu mencatat dua kemenangan daripada 17 aksi La Liga musim ini. - AFP

VALENCIA – Bekas gergasi Sepanyol, Valencia melantik Carlos Corberan sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak dua tahun setengah bagi memulihkan reputasi kelab itu yang kini terperosok di dasar La Liga.

Sepanjang 17 perlawanan liga musim ini, Valencia hanya mampu mengutip 12 mata hasil dua kemenangan, enam seri dan sembilan kekalahan, namun masih memiliki satu aksi dalam tangan.

Valencia yang pernah bergelar juara Eropah dan pemenang La Liga enam kali, mengharapkan Corberan, 41, mampu menghasilkan magis tersendiri untuk memastikan kelab itu kekal di divisyen tertinggi Sepanyol musim depan.

Corberan sebelum ini pernah menghabiskan tiga tahun di Leeds United dari 2017 hingga 2020 dengan permulaan sebagai jurulatih bawah 23 tahun sebelum beliau menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Marcelo Bielsa.

Bekas penjaga gol itu kemudiannya dilantik sebagai pengurus Huddersfield Town pada 2020 sebelum menyertai Olympiakos dan West Bromwich Albion dua tahun kemudian.

Kini, Valencia menaruh sepenuh kepercayaan kepada Corberan untuk menggantikan Ruben Baraja yang dipecat oleh pihak pengurusan kelab berkenaan.

Aksi pertama Corberan bersama Valencia sangat sukar kerana menentang juara bertahan di tangga kedua, Real Madrid pada 4 Januari ini selepas perlawanan kedua-dua pasukan bulan lalu ditunda disebabkan bencana banjir.

Sebagai rekod, Valencia masih mempunyai beberapa pemain bagus untuk memulihkan prestasi kelab seperti Jose Gaya, Pepelu, Sergi Canos dan penjaga gol, Giorgi Mamardashvili yang akan menyertai Liverpool musim depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN