fbpx

Umat Islam perlu jaga akidah, elak selfie dengan hiasan Krismas – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Hukum orang Islam bergambar atau berswafoto dengan dekorasi pokok Krismas atau hiasan Hari Natal bergantung kepada niat dan konteks situasi, namun ianya haram sekiranya mempunyai niat menyokong atau merayakan agama tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, seorang Muslim penting untuk menjaga akidah dan tidak menyertai apa-apa yang dianggap sebagai perayaan agama bukan Islam.

Menurutnya, pokok Krismas dan hiasan Hari Natal umumnya berkait dengan sambutan agama Kristian.

“Jika bergambar dengan hiasan tersebut dianggap sebagai menyokong atau merayakan agama lain, maka ia boleh menjadi haram kerana menyerupai atau mendukung perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Tetapi, jika niat bergambar hanyalah untuk tujuan neutral seperti estetika, kenangan atau budaya, tanpa niat menyokong perayaan agama tersebut, ia boleh menjadi harus.

Asalkan tidak menimbulkan salah faham terhadap identiti Muslim individu tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya lagi, orang Muslim disarankan menjaga imej dan menjauhi perkara yang boleh menimbulkan fitnah atau salah tanggapan.

“Bergambar dengan hiasan Hari Natal boleh disalah tafsir sebagai sokongan terhadap perayaan tersebut, terutama jika gambar itu dikongsi di media sosial.

“Majoriti ulama menekankan agar Muslim menghindari tindakan yang menyerupai atau mendukung amalan agama lain. Dalam konteks ini, bergambar dengan dekorasi perayaan agama lain boleh menjadi perkara syubhah (meragukan), yang lebih baik dielakkan.

“Namun, sebahagian ulama membenarkan tindakan ini jika tiada niat untuk merayakan atau mempromosikan perayaan tersebut, dan jika ia difahami sebagai sebahagian daripada interaksi budaya yang neutral,” jelasnya.

Tambah beliau, kesimpulannya, untuk mengelak timbulnya perbuatan fitnah atau salah faham, orang Islam seharusnya menghindari tindakan merakam gambar dengan hiasan Krismas sekiranya ia boleh menimbulkan persepsi sebaliknya.

“Fokuskan niat dan berhati-hati dengan tindakan yang boleh mencetuskan salah tafsir terhadap prinsip Islam. Sikap berhati-hati lebih utama dalam perkara yang berkaitan dengan akidah,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial orang Islam mengambil peluang berswafoto dan merakamkan video kenangan bersama pokok Krismas dan dekorasi perayaan itu sehingga menimbulkan persoalan ramai pihak mengenai hukum syarak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI