PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra memiliki kepakaran dan jaringan perhubungan yang meluas di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Thaksin mampu memainkan peranan dan membuka peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran dengan penuh yakin dan berkesan.
“Saya telah bertemu sahabat baik yang juga mantan Perdana Menteri Thailand,
Thaksin semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam pertemuan itu, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand.
Ujar beliau, ia selaras visi dan persefahaman seperti mana yang beliau kongsikan bersama Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.
Pembangkang Malaysia sebelum ini mengkritik pelantikan Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Pembangkang mendakwa, menjadikan seorang bekas pemimpin kontroversi dari Thailand sebagai penasihat peribadi ASEAN adalah langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pembangkang turut mempersoalkan mengapa penasihat tidak formal tidak dilantik dalam kalangan pakar dari dalam negara atau dari kalangan penggerak ASEAN. – KOSMO! ONLINE