GEORGE TOWN – Polis menahan seorang operator kilang lelaki yang tular selepas bertindak memecahkan cermin kereta seorang wanita dipercayai menggunakan rantai besi di Jalan Penang, di sini Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditangkap berhampiran Jalan Padang Tembak, Ayer Itam pada hari sama kejadian berlaku.
“Penahanan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 36 tahun kira-kira pukul 2.36 petang.
“Berdasarkan laporan, pengadu yang sedang memandu di hadapan Farmasi Ego didatangi seorang penunggang motosikal tidak dikenali yang secara tiba-tiba menghayun rantai besi ke cermin hadapan keretanya,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, seunit rantai besi, sebuah topi keledar dan sehelai kemeja-T turut dirampas.
“Semakan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod lampau manakala ujian air kencing yang dibuat disahkan negatif.
“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam bagi melengkapkan siasatan selain bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. -KOSMO! ONLINE