JAKARTA – Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir terus memasang cita-cita besar apabila mahu berada dalam kelompok 50 pasukan terbaik dunia.
Selepas memacu transformasi skuad Garuda, Thohir kini menjelaskan bahawa Indonesia memiliki asas kukuh dan menyatakan sasaran itu perlu dilunaskan pada 2045.
“Indonesia sepatutnya berada dalam kelompok sembilan pasukan terbaik di Asia. Tetapi sudah pasti ia akan mengambil sedikit masa untuk merealisasikannya.
“Kami mahu berada dalam kelompok 50 dunia pada 2045 kerana kami memiliki pendapatan per kapita besar. Kami sebuah negara besar, jadi kualiti bola sepak juga pasti akan meningkat,” katanya.
Thohir, 54, yang juga ahli politik di negaranya menganggap Indonesia sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’, namun tetap bercita-cita tinggu untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia.
“Kami bertuah kerana ramai pemain warisan di luar sana yakin dengan projek yang kami lakukan. Kami mahu layak ke Piala Dunia, Sukan Olimpik dan sekarang semua pemain di Eropah yakin dengan program ini.
“Ramai orang mengatakan kami adalah ‘gergasi sedang tidur’ dan sebab itu kami perlu membina satu program untuk menjadikan kami pasukan lebih baik.
“Sokongan kerajaan juga sangat penting, begitu juga dengan pihak swasta dan persatuan bola sepak itu sendiri,” kata Thohir yang juga pemilik Inter Milan. – AGENSI