KUALA LANGAT – Sikap culas pembayar cukai taksiran di daerah ini menyebabkan berlaku tunggakan sehingga RM 12.1 juta setakat kelmarin.
Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mendedahkan, nilai cukai semasa yang tertunggak bagi tempoh sama adalah mencapai RM 4.79 juta.
Katanya, ini merupakan satu jumlah yang besar dan sangat memberi kesan bagi penyelenggaraan dan perkhidmatan yang lancar.
“Kegusaran kerajaan terhadap kesedaran orang awam dalam menjelaskan bayaran cukai taksiran amat membimbangkan apabila sebanyak 678 jumlah fail waran sitaan premis telah direkodkan pada tahun 2023.
“Manakala, sebanyak 985 fail waran sitaan premis pada tahun ini oleh MPKL turut menjejaskan nilai kutipan hasil untuk kesinambungan perkhidmatan perbandaran,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! di sini hari ini.
Justeru, MPKL mengambil serius bagi senarai pembayar cukai yang culas dengan melaksanakan tindakan operasi sitaan.
Ini katanya, dilakukan melalui pengeluaran Notis E pada setiap 1 Mac dan 1 September setiap tahun kepada pembayar cukai yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE