SIBU – Polis sedang mengesan suspek yang melepaskan tembakan ke atas sebuah rumah di Jalan Lada, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata hasil siasatan di tempat kejadian, suspek dipercayai lebih daripada seorang dan menaiki sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam.
“Sebanyak empat das tembakan dikesan menyasarkan sebuah rumah dan sebuah kereta milik suspek.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.54 pagi dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Justeru, Zulkipli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Abu Bakar Roshidi di talian 012-8774241. – KOSMO! ONLINE