BEKAS pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memasang cita-cita untuk melihat aksi lebih baik mampu ditonjolkan oleh pasukan kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Memahami transformasi yang sedang dilakukan, Pau Marti menzahirkan amanatnya buat penyokong negara supaya terus kekal di belakang pasukan walaupun beliau tiada lagi dalam senarai kejurulatihan Harimau Malaya.
“Kepada semua penyokong di Malaysia, terima kasih atas sokongan, saya akan terus hargai layanan anda semua. Jangan pernah putus asa, jangan berhenti beri sokongan yang penuh bersemangat. Kita mampu capai segala-galanya bersama-sama,” katanya.
Terdahulu, Pau Marti menamatkan tugasan rasmi dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Singapura pada aksi Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 20 Disember lalu.
Selepas ini Harimau Malaya akan dibimbing oleh Cklamovski bermula dengan kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.
Untuk rekod, Malaysia dilihat memiliki peluang baik untuk layak ke Piala Asia 2027 apabila diundi dalam Kumpulan F pada pusingan ketiga kelayakan bersama Vietnam, Nepal dan Laos.
Di sebalik misi kemenangan ke atas Golden Star Warriors, peluang seakan condong kepada Harimau Malaya memandangkan Vietnam kini sedang dihimpit masalah prestasi apabila hanya meraih satu kemenangan dan sekali seri dalam 11 perlawanan rasmi sepanjang 2024.
20