KUALA LUMPUR – Penyedia media sosial diminta mendaftar lesen perkhidmatan dengan segera, susulan penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Januari depan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan bahawa tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan tersebut adalah sebelum atau pada 31 Disember ini.
Menurutnya, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia, malah beliau turut memuji pihak tersebut.
“Terima kasih kepada Tencent dan Telegram kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Saya berharap platform lain akan ikut langkah mereka jika ingin memberi perkhidmatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pelakon veteren, Sathia Periasamy atau lebih dikenali sebagai Sathiya.
Kunjungan tersebut adalah sempena sesi Ziarah Madani@Finas di Setapak Jaya, di sini hari ini.
Terdahulu, MCMC mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos. – KOSMO! ONLINE