PETALING JAYA – Tahukah anda penyakit gusi boleh menjadi punca masalah kesihatan yang serius seperti masalah jantung.
Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan, semuanya bermula dengan sesuatu yang kecil seperti gejala gusi berdarah setiap kali memberus gigi dan kemudian mengalami bau mulut yang kuat dan gusi menjadi semakin bengkak.
“Apabila gusi dijangkiti, bakteria dapat menyebabkan keradangan kronik dalam saluran darah dan mencetuskan pembentukan plak dalam arteri, menyumbat saluran darah ke jantung.
“Seterusnya menyerang injap jantung, mengakibatkan jangkitan dan kerosakan injap jantung yang mengancam nyawa,” menurut hantaran PHM pada Facebook.
Justeru adalah diingatkan tidak mengabaikan masalah tersebut.
“Setiap kali anda menangguhkan pemeriksaan gigi, anda sebenarnya mengambil risiko untuk kesihatan jantung anda.
“Kesihatan mulut adalah lebih daripada sekadar menjaga gigi putih dan senyuman cantik. Ia adalah perisai untuk jantung anda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE