fbpx

Pembantu kedai tidak mengaku tipu urusan sewa rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN Qistina Sari (tudung biru) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini. - Foto NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!

SEREMBAN – Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu urusan sewa rumah tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM3,850.

Tertuduh, Iman Qistina Sari, 20 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Iman Qistina didakwa memperdaya empat mangsa untuk mempercayainya mengenai urusan sewa rumah tidak wujud sehingga mendorong mereka membuat bayaran RM550 hingga RM1,300 setiap seorang.

Kesalahan dilakukan di Taman Angsamas dan Taman Permai, di sini pada Oktober dan November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan motosikal jenis SYM kepunyaan seorang lelaki berusia 25 tahun di Taman Angsamas, di sini pada 7 September lalu.

Terdahulu, pegawai pendakwa, Inspektor Ali Yaacob Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan tersebut.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roslaili Alias merayu jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal. Bapa tertuduh menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa ditidurkan manakala ibunya pula sakit jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 Februari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI